Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berpandangan mimpi yang dialami Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin mempunyai tafsiran berbeza contohnya petanda untuk mendamaikan UMNO dan PAS.
Ia susulan, tular di media sosial rakaman video ucapan Abdul Hadi yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW datang ke Rusila di Marang, Terengganu selain meminta ahli politik tersebut mendamaikan perbalahan antara golongan Sunni dan Syiah.
Menurut Puad, pihaknya mempersoalkan sama ada tindakan Abdul Hadi dilihat ingin membuatkan ahli Pas dan orang awam lebih taasub terhadap dirinya kerana terpilih berjumpa dengan Rasulullah SAW melalui mimpi atau sebaliknya.
“Betullah kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, kenapa kalut Abdul Hadi bermimpi jumpa Rasulullah SAW? Soalnya mengapa selepas 10 tahun? Apa motif?
“Apakah Hadi mahu ahli PAS dan orang ramai lebih ‘taasub’ kepada dirinya? Sekadar bertanya, bukan kalut.
“Apa usaha Abdul Hadi laksana mimpi yang baik itu? Bukan mudah damaikan Sunni dan Syiah sedunia. Sudah mula ke belum? 10 tahun telah berlalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Ahmad Fadhli berpandangan, kisah yang disampaikan Abdul Hadi lebih bersifat perkongsian dalaman dan terpulang kepada penerimaan orang awam sama ada ingin percaya atau tidak.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut telah diminta untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit dalam masa terdekat.