Oleh: Hanim Nadia
TUMPAT: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup masuk 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan kenderaan mewah jenis Mercedes Benz dan Grand Livina di Kampung Kok Keli, di sini, Kelantan.
Tangkapan dilakukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 10 malam itu menerusi Op Taring Wawasan.
Menurut kenyataan Briged Tenggara PGA, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima.
“Semasa pasukan BN 8 PGA tiba di lokasi, dua orang lelaki disyaki tekong melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 14 orang lelaki dan seorang wanita menjadi penumpang dalam dua buah kereta jenis Grand Livina dan Mercedes Benz tersebut.
“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Myanmar. Suspek tersebut disyaki diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi itu, suspek seorang penduduk tempatan berusia 58 tahun yang ditahan dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup masuk 15 PATI itu ke negara ini.
Semua suspek ditahan di bawah Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong ditahan di bawah Sek 26J Akta ATIPSOM 2007 dan telah dibawa ke IPD Tumpat untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.