Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Satu sistem pelaporan berpusat dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membolehkan mana-mana pihak khususnya wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi dan ajaran sesat membuat aduan terus kepada pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu adalah satu daripada penambahbaikan bagi menangani kes seumpamanya susulan pendedahan kes GISB Holdings (GISBH).
“JAKIM menyedari terdapat keperluan untuk membuat penambahbaikan dalam gerak kerja bagi menangani isu seumpama kes GISBH dan berkaitan ajaran sesat di negara ini.
“Oleh itu, JAKIM telah membangunkan sistem pelaporan berpusat bagi membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindak balas segera.
“Selain itu, penyelarasan aduan telah dilaksanakan secara strategik antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang bertanya sama ada kementerian berhasrat memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) pelaporan bagi memastikan laporan diterima diambil tindakan segera.
Dalam pada itu, katanya, petugas barisan hadapan juga diberi latihan khas untuk mengenal pasti tanda eksploitasi.
“Pada masa sama, kerjasama sedia ada antara agensi seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri dipertingkat untuk tindakan lebih pantas.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap laporan diterima dapat perhatian segera demi kebajikan wanita, kanak-kanak dan semua yang terdedah kepada ancaman dan eksploitasi,” katanya.
Sementara itu, kata Zulkifli, mana-mana individu berkaitan rapat dengan GISBH perlu mengikut ketetapan hukum daripada segi akidah sebelum mereka yang ditahan didakwa mengikut lunas undang-undang.
“Selain daripada itu, bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan kekuatan daripada segi bukti itu sendiri. Jadi daripada aspek ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwaan syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya.
Zulkifli menjawab pertanyaan lisan tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanya mengapa mereka yang berkaitan dengan GISBH tidak didakwa atas tuduhan masih mengamalkan Aurad Muhamadiah yang telah difatwakan sesat.
Pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 individu lain akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Selain beliau, turut dituduh mengikut seksyen sama adalah isterinya, Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.