3,602 Kes Penjawat Awam Bankrap Sejak 2020

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Sebanyak 3,602 kes kebankrapan penjawat awam direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dari tahun 2020 hingga September 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa kes kebankrapan di kalangan penjawat awam bagi tahun 2024 adalah sebanyak 666 kes, dengan 628 kes (2023), 621 kes (2022), 678 kes (2021), dan 1,009 kes pada 2020.

“Kerajaan sentiasa memandang serius masalah muflis dan keterhutangan yang serius dalam kalangan penjawat awam.

“Ketua Jabatan di setiap kementerian dan jabatan bertanggungjawab untuk memantau dan menilai semula keupayaan pegawai yang mempunyai keterhutangan yang serius untuk membayar hutangnya dari semasa ke semasa,” kata Azalina dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen Malaysia.

Azalina juga menjelaskan bahawa Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius memperuntukkan bahawa bagi tujuan had potongan gaji, pendapatan bersih pegawai awam hendaklah berada sekurang-kurangnya pada paras minimum 40 peratus daripada emolumen bulanan pegawai, melainkan terdapatnya pinjaman perumahan dan pendidikan.

Mengulas lanjut beliau berkata, penjawat awam yang terbabit juga diberikan bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan situasi muflis serta tindakan tatatertib yang berbangkit daripadanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem mengenai usaha untuk menangani masalah peningkatan kes muflis dalam kalangan penjawat awam yang semakin membimbangkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat