Oleh: Shafira Aziz
BEIJING: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan kerjasama penting dengan syarikat teknologi global, Huawei yang bertujuan mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi cabaran ekonomi abad ke-21.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, menjelaskan bahawa antara inisiatif utama adalah penubuhan Pusat Pembelajaran Huawei (Huawei Learning Centre).

Pusat tersebut akan memberi tumpuan kepada kursus-kursus berkaitan teknologi terkini seperti 5G, kecerdasan buatan (AI) dan telekomunikasi.
“KESUMA akan bekerjasama rapat dengan Huawei untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang telah dibincangkan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, satu lagi langkah penting yang dibincangkan adalah penggunaan teknologi canggih untuk mewujudkan Kampus Pintar (Smart Campus) di seluruh negara.
“Kami akan menggunakan rangkaian 5G dan teknologi Wi-Fi 7 yang terkini untuk mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KESUMA,” tambahnya.

Salah satu aspek penting dalam kerjasama ini adalah penubuhan Institut Huawei yang akan bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah KESUMA.
Langkah ini selaras dengan pengumuman Program Anak Angkat ILKA dalam Belanjawan 2025, yang bertujuan untuk meningkatkan taraf latihan kemahiran teknikal di Malaysia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan Huawei juga telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan akses kepada teknologi di kawasan pedalaman Malaysia, seperti dengan menyediakan rangkaian mudah alih dan pusat operasi pintar di Sarawak.
“Ini membantu meningkatkan liputan rangkaian tanpa wayar di kawasan pedalaman, sekali gus mempercepatkan transformasi digital,” katanya.
Kerjasama ini dicapai menerusi perbincangan antara delegasi Anwar ke Pusat Taklimat Eksekutif Huawei bersempena dengan lawatan kerjanya di sana.