Agong titah buli jejas pelajar dan reputasi UPNM

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap insiden buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Baginda memandang serius kejadian terbaharu yang menyebabkan seorang penuntut mengalami kecederaan teruk termasuk keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.

Baginda bertitah, budaya buli bukan sahaja merosakkan kesejahteraan pelajar tetapi turut mencemarkan nama baik institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Lebih membimbangkan, baginda mengingatkan bahawa kes buli di UPNM itu bukan kali pertama berlaku.

“Kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut menekankan bahawa walaupun latihan keras adalah sebahagian daripada proses ketenteraan bagi membina daya ketahanan, ia tidak boleh diterjemahkan kepada penderaan fizikal atau tindakan kejam yang mendatangkan kecederaan atau maut.

“Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” tegas Baginda.

Dalam pada itu, pertemuan di antara Seri Paduka Baginda dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Istana Negara menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menangani masalah ini.

Baginda bertitah demikian susulan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Sebelum itu, seorang pegawai ALK UPNM mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pelajar junior menggunakan seterika dalam kes buli yang berasingan.

Anda Mungkin Berminat