Fazura dapat hak penjagaan penuh, Fattah diberi hak lawatan

Oleh: Kamilia Ali

PELAKON Nur Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin mencapai kesepakatan berkenaan hak penjagaan anak mereka iaitu Nur Fatima Aisya.

Prosiding hadanah diselesaikan dengan baik di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pagi tadi dengan Fazura mendapat hak penjagaan penuh anaknya, manakala bekas suaminya diberikan hak lawatan.

Menurut Peguam yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, sebelum ini Fattah telah bersetuju hak penjagaan diberikan kepada Fazura dan diberikan hak lawatan kepadanya.

“Ia sudah ditandatangani dan hari ini kami rekodkan sebagai satu perintah mahkamah. Sebelum persetujuan ini kami sudah baca di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.

“Hari ini kami hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjadikan persetujuan ini dikuatkuasakan sebagai satu perintah,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Fattah, Syamimi Ab Rahman berkata, keputusan dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan.

“Untuk hak lawatan ada dua terma iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian.

“Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad,” jelasnya.

Bagaimanapun, Syamimi menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa Fattah perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatima.

Manakala, untuk lawatan harian Fattah dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatima sebanyak tiga kali seminggu.

Terdahulu, pasangan pelakon terkenal itu sah cerai talak satu pada 7 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.

Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun.

Anda Mungkin Berminat