Selepas Mesir, Anwar impi Proton ke Afrika Utara

KAHERAH: Jenama Proton bukan sekadar industri automotif di Malaysia namun ia adalah kebanggaan negara dan terkenal di banyak negara hingga ke Eropah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata pemasangan kereta model Proton Saga di Mesir itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.

“Usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.

“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” kata beliau yang melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad semalam dan operasi itu dijangka beroperasi Disember tahun ini.

Anwar turut mengharapkan agar ianya dapat membuka pintu ke pasaran Afrika Utara pula.

“Rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan kereta Proton Saga akan menghasilkan kira-kira 16,000 unit antara tahun 2024 hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sekitar RM570 juta.

“Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.

“Semoga lebih banyak peluang dan ruang buat syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pihak Mesir, Insya-Allah,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Mesir Kamel Al-Wazir dan Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments Hisham Ezz Elarab.

Anda Mungkin Berminat