Pelajar IPT perlu jadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kes salah laku – Menteri

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal membuat pindaan semula ke atas semua prosedur displin berikutan peningkatan kadar buli dalam kalangan pelajar universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul kadir berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus sentiasa berada dalam keadaan terjamin, disamping dapat mengelakkan kejadian sebegitu berulang lagi.

“Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merupakan salah satu daripada 20 universiti awam di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.

“Pelajar awam di UPNM adalah tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) manakala pelajar Pegawai Kadet di UPNM tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan juga AUKU 1971.

“Dalam hal ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM.

“Keunikan pentadbiran di UPNM sedikit sebanyak memberi kesan kepada tindakan lanjut apabila berlakunya sesuatu perkara seperti kes buli ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Namun begitu, beliau turut berkata, kejadian buli yang berlaku sebelum ini adalah sewaktu pelajar berada di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) iaitu diluar waktu pengajaran dan pembelajaran.

“Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk mengkaji semula dasar yang sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani masalah buli dengan lebih cekap.

“Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara.

“Dalam masa sama, KPT turut berharap agar warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sendiri menjadi ‘mata dan telinga’ dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini,” jelasnya.

Terbaharu, dilaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar yang ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Anda Mungkin Berminat