Pemergian Daim, saya kehilangan sahabat – Tun M

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa dukacita ke atas pemergian sahabatnya yang juga bekas menteri kewangan di era pentabdirannya, Tun Daim Zainuddin awal pagi tadi.

Beliau berkata pemergian sahabatnya, Daim merupakan satu perkara yang amat menyedihkan dan Allahyarham wajar disanjung tinggi.

“Daim meninggal dunia pagi ini. Saya kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya sedih tidak terhingga dan sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan,” jelasnya.

Beliau mendakwa, Allahyarham kerap kali diherdik diakhir hayatnya dan mengharapkan keadilan akan sentiasa berpihaknya di sana (alam barzakh).

“Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Tun Daim Zainuddin, memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an, dikenali sebagai salah seorang arkitek dasar ekonomi yang membantu memulihkan kewangan negara semasa krisis.

Semasa perkhidmatannya, Allahyarham berjaya mengukuhkan ekonomi Malaysia melalui pelbagai dasar dan strategi kewangan yang efektif.

Daim juga aktif dalam sektor swasta dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara walaupun selepas meninggalkan pentadbiran.

Allahyarham dikenang bukan sahaja sebagai tokoh kewangan yang berpengaruh, tetapi juga sebagai penasihat yang dihormati oleh pemimpin dan ahli ekonomi.

Anda Mungkin Berminat