Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu mencadangkan transformasi perpustakaan desa di Desa Changkat, Batu Gajah, Perak menjadi pusat komuniti pintar.
Beliau menyatakan bahawa perpustakaan desa boleh memainkan peranan besar dengan menyediakan akses kepada bahan bacaan digital dan latihan teknologi termasuk kelas komputer dan penggunaan peranti pintar.
“Perpustakaan desa dapat menyediakan rangkaian internet percuma untuk memudahkan masyarakat mengakses maklumat dalam talian,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Sivakumar juga mencadangkan perpustakaan desa sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat dengan kursus dan bengkel kemahiran seperti kraftangan, pertanian moden dan keusahawanan.
Selain itu, beliau menekankan keperluan penduduk desa di Batu Gajah untuk dewan komuniti dan tadika perpaduan yang sempurna.
“Kawasan ini menempatkan hampir 900 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 3,000 orang.
“Walaupun tanah sudah dikenalpasti dan tersedia untuk pembangunan, kekangan utama adalah ketiadaan peruntukan,” jelasnya.
Beliau memohon agar pihak kementerian mempertimbangkan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk membina sebuah dewan komuniti lengkap dengan kemudahan asas dan tadika perpaduan yang mampu menempatkan 50 kanak-kanak.
Baca juga: