Kesejahteraan Keluarga Malaysia Terus Meningkat

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap agar lebih banyak sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga mengikut kapasiti masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sambutan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan merupakan salah satu usaha KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membangunkan institusi kekeluargaan yang berdaya tahan dan sejahtera.

“Sebelum ini kerajaan telah menetapkan Hari Keluarga untuk dijadikan sebagai acara tetap tahunan di semua kementerian dan agensi peringkat persekutuan dan negeri.

“… majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja layak mendapatkan pelepasan cukai,” katanya semasa merasmikan Kem KASIH Keluarga di Pantai Pugu, Lundu, Sarawak, hari ini.

Menurut beliau, kesejahteraan keluarga di negara ini berada pada tahap sederhana tinggi dengan skor 7.93 daripada 10, menurut Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga 2022 (IKK 2022).

Katanya, peningkatan itu lebih baik berbanding skor 7.72 pada tahun 2019.

Tambah Nancy, skor itu juga sejajar dengan negeri Sarawak yang mencatatkan skor IKK pada paras 7.82 yang menunjukkan peningkatan positif berbanding skor 7.78 pada tahun 2019.

“Untuk makluman, penilaian Skor IKK ini merangkumi Domain Hubungan Kekeluargaan, Domain Ekonomi Keluarga, Domain Kesihatan Keluarga, Domain Keselamatan Keluarga, Domain Keluarga dan Keterlibatan Komuniti, Domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian, Domain Perumahan dan Persekitaran, dan Domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi,” katanya.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat