Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Peningkatan peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dari RM6,000 kepada RM10,000 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperbaiki aspek pembangunan belia.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq, inisiatif itu disambut baik dan diyakini mampu memberi impak besar kepada belia sekaligus memperkasa golongan ini.
“Melalui tambahan dana ini, PeBS berpeluang memperluaskan skop aktiviti yang lebih inklusif, inovatif kepada anak muda Selangor selain membuka ruang untuk melibatkan lebih ramai belia dalam aktiviti yang memupuk semangat kepimpinan, dan nilai sosial yang positif,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru itu, kata Muhammad Iman, AMK Selangor optimis untuk bersama-sama menggerakkan inisiatif tersebut melalui program yang lebih mampan demi pembangunan anak muda Selangor yang lebih sejahtera dan progresif.
“AMK Selangor turut menyeru anak muda untuk mengambil peluang ini bagi menyertai program-program PeBS dan memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Pada 15 November lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.8 juta dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan kelangsungan pembangunan belia terus dilaksana hingga ke peringkat akar umbi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PeBS menghubungkan Kerajaan Negeri dan golongan belia sehingga ke peringkat zon ahli majlis.
“PeBS berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan golongan belia bagi memastikan golongan belia di negeri ini mempunyai platform dalam usaha untuk memperkasakan agenda belia di Selangor,” kata Amirudin.
Baca juga: