Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kesepakatan Malaysia dan Perancis untuk mengukuhkan kerjasama dua hala sebagai legasi kepada perkembangan dunia.
Anwar berkata demikian selepas pertemuan beliau dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil.
Katanya, hubungan kerjasama itu bukan sahaja memperkembangkan bidang kecerdasan buatan (AI) tetapi juga meliputi pelbagai bidang lain.
“Dalam pertemuan ini, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Ia meliputi bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertahanan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Presiden Macron atas dukungan menerusi Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis terutama dalam peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Kami turut membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan saya menyatakan penghargaan kepada Presiden Macron atas dukungan menerusi Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis,” kata Anwar.
Sebagai pemimpin yang cakna terhadap isu Palestin, Anwar turut membincangkan keperluan gencatan senjata dengan Presiden Perancis bagi membantu menamatkan penderitaan yang kini sedang dialami.
“Kami berdua sempat membincangkan perihal genosid yang berlaku di Palestin yang mana ia memerlukan gencatan senjata sesegera mungkin dan kerjasama semua pihak untuk menamatkan penderitaan rakyat di sana,” tambahnya.
Untuk info, Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.