PETALING JAYA: Sempena sambutan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menawarkan diskaun sebanyak 60 peratus bayaran saman trafik kepada pengunjung.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 22 hingga 24 November 2024.
Peluang ini memberikan orang ramai untuk menyelesaikan saman trafik dengan harga yang lebih rendah iaitu sebanyak 60 peratus daripada bayaran asal.
PDRM berharap inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya mematuhi undang-undang jalan raya.
Pengunjung juga dapat menikmati pelbagai pameran dan perkhidmatan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta jabatan atau jaringan KDN sebagai usaha reformasi untuk menyantuni rakyat.
Objektif program tersebut bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha-usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang telah diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat.
Selain itu, ia bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.
Program itu juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan MADANI, pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pertukaran topi keledar, reruai usahawan serta karnival kerjaya.
Dengan mengangkat tema ‘MADANI di hati, rakyat disantuni’, program itu juga nanti akan menampilkan pelbagai sesi wacana yang melibatkan wakil pihak kerajaan, swasta, ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan reformasi dan pembangunan negara.