Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Penilaian sebenar terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan hanya boleh ditentukan oleh rakyat, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada gred D yang diberikan oleh BERSIH kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh dua tahun ini.
“Yang menentukan kerajaan cemerlang atau tidak, kita terbuka kepada semua organisasi, mana-mana pihak… tetapi yang paling penting menentukan kerajaan terbaik adalah gred daripada rakyat sendiri,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.
Terdahulu, Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan daripada aspek kemajuan dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Beliau berpandangan bahawa kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan kesemua reformasi memandangkan sudah melepasi pertengahan penggal lima tahun, malah tiada perubahan besar dibuat.
Namun, Taufiq mempersoalkan bagaimana BERSIH membuat penilaian tersebut dan apakah kriteria yang ditetapkan itu mewakili keseluruhan rakyat.
“Nak klasifikasi gred D, kita baru dua tahun. Hendak buat reform ini perlukan masa. Kita (Kerajaan) dalam proses hendak baik pulih ekonomi, jadi hendak kata kita tidak buat langsung itu, tak betul,” tegasnya.
Beliau juga menekankan bahawa terdapat pelbagai reformasi yang telah dilaksanakan di Parlimen termasuk pembentangan laporan audit dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen, pemansuhan hukuman mati mandatori dan pindaan hak kewarganegaraan.
“Kita cuba buat reformasi ekonomi seperti pensasaran subsidi diesel… itu adalah satu keputusan ‘unpopular’ tetapi kita buat untuk menyelamatkan ekonomi,” katanya.
Taufiq turut menyatakan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen.
“Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu bergerak ke hadapan, ambil kritikan ini sebagai positif dan dalam masa sama meneruskan agenda Kerajaan MADANI,” katanya.