MB Selangor bidas pembangkang dalam ucapan penggulungan belanjawan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, Belanjawan Negeri Selangor 2025, yang merangkum perbahasan oleh 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepanjang persidangan.

Dalam ucapannya, Amirudin membidas Ketua Pembangkang dan rakan-rakan pembahas di barisan Perikatan Nasional (PN) yang menuduh kerajaan negeri tidak bercakap mengenai realiti sebenar.

“Angka-angka yang diperoleh kerajaan adalah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Angka ini telah dikaji dan dianalisis dengan penuh teliti agar kerajaan negeri dapat menetapkan dasar-dasar yang sesuai serta melaksanakan apa yang dirancang,” tegas Amirudin.

Beliau berkata, kaedah pelaksanaan perbelanjaan dan langkah-langkah untuk menambah hasil negeri.

Antaranya, hasil daripada anak syarikat negeri yang disasarkan untuk memperoleh RM40 juta, di mana setakat ini hasilnya sudah mencapai RM30 juta sebelum bulan Disember.

Menurutnya, negeri Selangor juga telah mendapat hasil daripada Zero Discharge Policy (ZDP) sebanyak RM18 juta pada tahun ini.

Amirudin turut menyentuh mengenai pembiayaan pendidikan tinggi untuk mahasiswa melalui inisiatif Peduli Siswa yang menunjukkan peningkatan jumlah penerima daripada 457 pelajar pada tahun 2021 kepada 2,202 pada tahun 2023.

Selain itu, katanya, peruntukan tahunan sebanyak RM3 juta untuk biasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan geran pendidikan turut disediakan.

Selangor juga mempelopori bidang kecerdasan buatan (AI) dengan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperuntukkan RM5 juta untuk projek AI.

Projek ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan kapasiti melalui teknologi AI serta mengaplikasikannya bagi menangani cabaran sosial dan ekonomi.

Dalam soal kebajikan, beberapa langkah bersesuaian telah diambil, antaranya pemberian khairat kematian sebanyak RM1,000 untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas dan orang kurang upaya.

Data menunjukkan sebanyak 32,000 kematian dicatatkan di negeri Selangor setakat ini.

Tambah Amirudin, negeri Selangor sentiasa peka dan dinamik dalam program-program pembangunan intelektual dan masyarakat.

Oleh itu, katanya, program penterjemahan buku secara berterusan serta penganjuran Festival Turath Islami akan diteruskan dan diperhebat.

“Insya-Allah, semoga apa yang direncanakan ini berjalan lancar demi membina sebuah negeri yang dinamik dan menjadi cita sempurna,” katanya.

Anda Mungkin Berminat