PULAU KETAM: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) berjaya menemukan mayat seorang nelayan tempatan yang jatuh laut dari vessel di kedudukan 8.1 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada pukul 10.45 pagi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh mengesahkan bahawa Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal mengenai insiden tersebut.
“Mangsa, Chia Hap Swa, seorang lelaki berbangsa Cina berusia 59 tahun, dilaporkan terjatuh dari kapal di posisi lebih kurang tujuh batu nautika Tenggara Pulau Ketam pada sekitar pukul 9.30 pagi Khamis lalu.
“Berdasarkan maklumat, mangsa turun ke laut bersama rakan untuk menangkap ikan sebelum terjatuh daripada vessel dan dipercayai lemas dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya, bertindak atas maklumat tersebut, dua aset Maritim Malaysia, bot PENGGALANG 10 dan PENGGALANG 31 bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan bantuan komuniti nelayan tempatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pencarian.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut diwujudkan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi mengkoordinasikan operasi tersebut.
Muhaimin berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian baju hijau muda dan berseluar panjang dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi CARILAMAT ditamatkan pada pukul 1.15 tengah hari semalam.
“Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut, terutama ketika Monsun Timur Laut sedang melanda negara,” kata kenyataan itu lagi.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.