Anwar terus belajar, timba ilmu tanpa henti – Zambry

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya terus belajar dan menimba ilmu tanpa henti dalam tempoh dua tahun kepimpinannya.

Menurut Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Anwar sering mengingatkan kabinetnya tentang pentingnya ‘humility of knowledge’ atau tawadduk dalam tradisi keilmuan.

“Jangan menganggap kita sudah buat yang terbaik.

“Tetapi katanya kita perlu berusaha untuk memberi khidmat yang terbaik tanpa henti, khususnya buat golongan miskin dan rakyat biasa yang tiada ruang untuk terus menyampaikan resah dan kisah mereka,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh dua tahun ini, Anwar telah menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan tugas dengan tata kelola yang baik dan mendengar denyut nadi rakyat.

“Saya yakin Perdana Menteri (Anwar) tidak mahu terlalu disanjung dalam empoh yang singkat ini.

“Tetapi beliau juga menekankan pentingnya kejujuran nasihat, menegur dengan adab dan mengkritik dengan fakta,” katanya.

Beliau percaya Anwar akan terus memimpin dengan tekad politik berpasukan, memperbaiki kekurangan, mengungguli dasar-dasar yang jelas dan memastikan perkhidmatan awam yang mantap.

Anda Mungkin Berminat