PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di negeri Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Langkah ini adalah selaras dengan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan bahawa memungut zakat tanpa tauliah adalah suatu kesalahan dan boleh didenda hingga RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
JAIS dalam satu kenyataan hari ini berkata, membayar zakat kepada individu atau pihak yang tidak ditauliahkan oleh MAIS tidak melepaskan kewajipan zakat yang wajib ke atas individu tersebut.
Katanya, ketetapan itu adalah berdasarkan hukum yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 8 Ogos 2024 dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
“Pembayaran zakat yang dibuat kepada individu atau badan lain yang tidak diberi kuasa yang sah itu adalah tidak sah dan pembayarnya masih tidak terlepas daripada kewajipan membayar zakat itu,” jelas JAIS.
JAIS telah mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh negeri Selangor.
JAIS menyedari adanya individu yang menggunakan masjid atau surau untuk kutipan infak yang dinamakan sebagai zakat dan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pihak pentadbir masjid dan surau yang menyebabkan kutipan zakat tanpa tauliah.
Tambahnya lagi, umat Islam di Selangor dinasihatkan agar hanya membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh MAIS dan melaporkan sebarang perbuatan yang melanggar ketetapan peraturan kepada JAIS.