Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Kerajaan terus komited mengangkat martabat Bumiputera melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, menegaskan bahawa inisiatif itu selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
“PuTERA35 bertemakan ‘Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna’ dengan memberi fokus kepada tiga teras utama: memperkukuh ekonomi negara, memperteguh tadbir urus dan institusi, serta menegakkan keadilan sosial,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai cara kerajaan memastikan keberkesanan ekonomi Bumiputera melalui PuTERA35.
Tambahnya lagi, antara penambahbaikan dalam agenda tersebut termasuk penglibatan lebih menyeluruh dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, termasuk bukan Bumiputera.
Fokus turut diberikan kepada semua lapisan masyarakat Bumiputera, termasuk Sabah, Sarawak, dan Orang Asli, di samping memberi limpahan manfaat kepada kumpulan minoriti bukan Bumiputera yang memerlukan.
Selain itu, kerangka pemantauan pelaksanaan diperkuatkan melalui pewujudan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian dan pembangunan Dashboard PuTERA35 untuk memantau keberhasilan hingga 2035.
“Pendekatan ini memastikan pelaksanaan yang lebih sistematik dan telus.
“PuTERA35 bukan hanya meneruskan agenda sedia ada, tetapi menambah nilai dengan pendekatan holistik untuk menjadikan ekonomi Bumiputera lebih inklusif dan mampan menjelang 2035,” tambahnya.
Baca juga: