Tiada had umur tuntutan insurans PERKESO


Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kerajaan terus komited melindungi kebajikan pekerja melalui pelaksanaan dasar-dasar Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang fleksibel.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menjelaskan bahawa tiada had umur ditetapkan untuk Orang Berinsurans menghantar tuntutan insurans pekerjaan di bawah Skim Keilatan.

“Ini memberi ruang kepada mereka untuk menuntut hak mendapatkan perlindungan insurans,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) mengenai pertimbangan untuk meluluskan agar had usia 60 tahun dinaikkan kepada 65 tahun bagi menghantar Notis Keilatan.

Abdul Rahman turut memaklumkan had umur bagi manfaat pencarum seperti Pencen Ilat dan Pencen Penakat kekal sehingga 60 tahun, selaras dengan pindaan pada 2013 yang menyokong Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Langkah tersebut adalah untuk memastikan pekerja dilindungi sehingga usia persaraan wajib.

Beliau turut menekankan bahawa pekerja berumur 60 tahun ke atas yang masih bekerja dalam sektor formal tetap layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja.

Bagi pekerja sektor tidak formal, perlindungan disediakan menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Akta itu merangkumi risiko pekerjaan termasuk kemalangan dan penyakit berkaitan kerja.

Perlindungan tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan pekerja yang menjalankan pekerjaan sendiri tetap terjamin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat