Hael, Nadeera serikan 29th Asian Television Award di Jakarta

DUA bintang popular di bawah naungan label Rocketfuel Entertainment, Nadeera Zaini dan Hael Husaini bakal diterbangkan ke Jakarta, Indonesia bagi menjayakan acara gemilang 29th Asian Television Award (ATA29) yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November ini.

Acara berprestij ini akan menyaksikan Nadeera dan Hael beraksi di pentas ATA29 selaku satu-satunya wakil artis perempuan dan lelaki dari Malaysia.

Selain itu, mereka juga tercalon dalam kategori ‘Most Popular Solo Male Popular : Hael Husaini’ dan Most Popular Solo Female Performer : Nadeera di Asia Television Awards kali ini.

Sebuah penghormatan buat kedua-dua bintang tanah air kita membuat persembahan di persada antarabangsa yang bakal disaksikan secara langsung oleh negara-negara besar Asia seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Taiwan, Hong Kong dan juga Sri Lanka.

Di antara nama-nama besar industri hiburan dari rantau Asia yang terlibat adalah Luna Maya, Raffi Ahmad, Lesti Kejora, Putri Ariani dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Nadeera dan Hael berjaya melayakkan diri ke pertandingan berprestij dalam industri muzik Malaysia, Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 37, yang merupakan calon berpengalaman dalam AJL sebelum ini, turut berkongsi perasaan gembiranya.

“Terima kasih kepada para juri yang memilih lagu ‘Diam’. Dua karya saya terpilih untuk AJL39 dan saya benar-benar bersyukur. Tiada kata-kata yang mampu saya ungkapkan, hanya perasaan penuh terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Manakala, Nadeera, setelah lebih sedekad menanti peluang untuk tampil di pentas AJL, impian akhirnya tercapai apabila namanya diumumkan sebagai finalis melalui lagu hitnya, “Bukan Lagi Kita”, ciptaan Hael Husaini dan komposer Iqie Hugh.

“Saya tidak mahu meletakkan apa-apa harapan. Sudah pasti semua yang bertanding mempunyai impian untuk menang. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah.

“Dapat melayakkan diri ke AJL39 pun saya sudah bersyukur. Jadi, saya tidak kisah sama ada menang atau kalah,” katanya sambil tersenyum.

Anda Mungkin Berminat