Lapan ditahan dalam operasi mabuk


Oleh: Shafira Aziz

JOHOR BAHRU: Polis menahan lapan individu yang disyaki mabuk dan positif dadah dalam Operasi Mabuk yang dilaksanakan di Jalan Daya dan Jalan Mutiara Emas Utama, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata sebanyak 116 individu dan 97 kenderaan telah diperiksa.

“Hasilnya, 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk tiada lesen memandu, ubah suai ekzos dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Operasi ini bertujuan membanteras kesalahan trafik memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu, sebanyak enam tangkapan dibuat di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.

Dua lagi individu ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan melawan arus dan positif dadah di bawah Seksyen 42(1) akta sama serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Raub turut menegaskan bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa orang ramai.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Semua pengguna perlu mematuhi peraturan lalu lintas untuk kesejahteraan bersama,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa operasi seperti ini akan terus dijalankan secara berkala dan pihak polis juga menyeru kerjasama orang ramai untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat