Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menekankan pentingnya nilai taat setia dalam kalangan penjawat awam sebagai kepatuhan dalam menjalankan tugas.
Beliau berkata, nilai iu bukan sahaja merujuk kepada kepatuhan terhadap pemimpin dan institusi negara, tetapi juga kepada prinsip kejujuran, tanggungjawab, dan dedikasi.
“Sebagai rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam, taat setia kepada pemimpin, raja dan negara bukan hanya satu kewajipan moral tetapi ia merupakan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa taat setia melangkaui batas kaum, agama dan latar belakang menjadikan masyarakat bersatu padu, harmoni dan menghormati sistem kenegaraan yang berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Katanya, penjawat awam diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan dedikasi yang dapat memperkukuhkan profesionalisme serta mencerminkan rasa hormat terhadap institusi negara.
Dalam melaksanakan tugas, beliau menyeru penjawat awam untuk sentiasa menjunjung prinsip keadilan dan kebersamaan seperti yang terkandung dalam nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Saya yakin, dengan semangat taat setia yang tinggi, kita dapat membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan yang lebih gemilang, berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa,”* jelasnya lagi.