Nga Kor Ming Sumbang Sebulan Gaji Kepada Tabung Kebajikan KPKT

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyumbang sebulan gajinya kepada tabung kebajikan bagi kakitangan kementeriannya sebagai penghargaan khas atas kejayaan mereka.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan KPKT yang membantu kementerian menjadi pemenang dalam Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan khas kepada seluruh kakitangan kerana membantu kementerian untuk menjadi pemenang anugerah pembangunan negara, iaitu memenangi tempat pertama sebagai kementerian berprestasi tinggi di tahun ini,” kata Kor Ming ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau juga merakamkan penghargaan khas kepada Kementerian Kewangan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperuntukkan RM5.94 bilion kepada KPKT di bawah Belanjawan 2025.

Kor Ming turut berkongsi pencapaian KPKT sehingga 1 November 2024 termasuk pelaksanaan 182 projek penyelenggaraan kolam takungan banjir, kelulusan 2,143 unit gerai Madani dan pelaksanaan 122 projek naik taraf serta baik pulih sistem perparitan dan longkang.

Pada 12 November lalu, KPKT mengungguli empat anugerah termasuk Penerima Anugerah Pembangunan Negara 2024 sempena Majlis APN 2024.

Selain itu, KPKT turut dinobat tempat pertama Anugerah Pengurusan IBS Terbaik Peruntukan di atas RM1 bilion, tempat pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi dan Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten.

Anda Mungkin Berminat