CANBERRA: Australia semakin hampir melaksanakan undang-undang pertama yang melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun.
Undang-undang tersebut yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan dengan sokongan besar 103 undi, menyasarkan platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan X.
Syarikat yang gagal mematuhi larangan itu boleh dikenakan denda sehingga 50 juta dolar Australia.
Meskipun mendapat sokongan majoriti, langkah tersebut telah dikritik oleh beberapa pihak, termasuk ahli parlimen bebas dari pihak pembangkang, Zoe Daniel yang berpendapat ia tidak menyelesaikan isu sebenar media sosial dan lebih kepada memberi gambaran bahawa kerajaan sedang bertindak.
“Ini bukan untuk menjadikan media sosial lebih selamat, tetapi untuk memberi tanggapan kepada ibu bapa dan pengundi bahawa kerajaan melakukan sesuatu,” katanya, lapor Al Jazeera pada Rabu.
Tindakan tersebut juga menerima tentangan daripada organisasi seperti Amnesty International dan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Australia, yang bimbang larangan tersebut akan menjejaskan anak-anak yang terdedah kepada kerentanan sosial.
Pesuruhjaya Privasi, Carly Kind, turut mencadangkan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam menangani isu itu.
Sekiranya undang-undang itu diluluskan di Senat, syarikat media sosial akan diberi tempoh satu tahun untuk menyesuaikan diri.
Walaupun terdapat seruan untuk menangguhkan keputusan itu, kerajaan berpendapat langkah tersebut penting untuk melindungi generasi muda daripada kesan buruk media sosial.
Baca juga: