Jutawan Ananda Krishnan meninggal dunia

PETALING JAYA: Hartawan negara, T Ananda Krishnan, meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.

Berita duka tersebut disahkan melalui kenyataan firma perdagangan pelaburan miliknya, Usaha Tegas Sdn Bhd.

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Pengerusi kami, Encik Ananda Krishnan Tatparanandam, yang telah meninggal dunia pada 28 November 2024.

“Beliau telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan dunia korporat, selain inisiatif filantropi beliau yang telah menyentuh kehidupan ramai individu.

“Kami dengan rendah hati memohon agar kehendak keluarga untuk berkabung secara peribadi dihormati,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Ananda seorang alumni Harvard Business School, dikenali sebagai pengasas syarikat gergasi Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

Kedua-dua syarikat ini menjadi tulang belakang sektor telekomunikasi dan penyiaran di Malaysia, mencorakkan landskap industri yang lebih moden dan berdaya saing.

Selain Maxis dan Astro, beliau juga memiliki kepentingan besar dalam syarikat perkhidmatan medan minyak, Bumi Armada Bhd, melalui Objektif Bersatu Sdn Bhd.

Selain itu, beliau juga merupakan usahawan penternakan kuda bibit di Australia, perjudian, studio kartun Hollywood, telekomunikasi, multimedia, perkapalan, tenaga dan hartanah.

Syarikat-syarikat miliknya beroperasi di kebanyakan tempat di Asia Tenggara dan beliau mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$5.4 bilion (RM23,960,000,000).

Ananda juga menjadi penaja konsert Band Aid yang sulung dan yang memainkan peranan penting dalam pengenalan Live Aid ke Asia.

Menurut senarai Forbes pada April 2024, Ananda Krishnan merupakan individu ketiga terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan mencecah USD5.1 bilion.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat