Sanusi ucap terima kasih Anwar, kunci mulut dakwaan sabotaj

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan terhadap pelaburan Hyundai Motor bernilai RM2.14 bilion di Kulim.

Namun, Sanusi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai dakwaan beliau sebelum ini tentang rancangan sabotaj pelaburan di Kedah.

Beliau menegaskan terdapat perkara yang wajar didedahkan dan ada juga yang lebih baik dirahsiakan.

“Terlalu banyak perkara di dunia ini yang saya simpan sendiri. Apa yang saya dedahkan tidak sebanyak apa yang saya simpan,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Kedah 2025 di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Beliau menambah, maklumat yang dirahsiakan itu digunakan sebagai panduan dalam membuat keputusan, pendirian, atau kenyataan.

“Tentang ‘grand design’ itu, biar saya simpan sendiri untuk lihat sejauh mana mereka mahu bertindak,” ujarnya.

Sanusi juga membidas gesaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang mendesaknya mengemukakan bukti dakwaan sabotaj tersebut.

“Tunggu sahaja masa balasannya. Dunia ini memang begitu sejak awal zaman hingga akhir zaman,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun tetap menghargai sokongan Anwar dalam menarik pelaburan Hyundai ke negeri Kedah, sambil mengakui peranan kerajaan pusat dalam memajukan ekonomi negeri itu.

Dakwaan sabotaj Sanusi sebelum ini turut menerima kritikan daripada UMNO Kedah, yang menyifatkannya sebagai cubaan mewujudkan persepsi palsu untuk menutup kegagalan kerajaan negeri merealisasikan pelaburan yang diumumkan.

Walaupun begitu, Sanusi tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan nama individu yang didakwa terlibat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat