FAMA Edar 60,000 Pek Makanan Bantu Mangsa Banjir

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengedarkan 60,000 pek makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, edaran itu adalah Fasa 1 pelaksanaan Kit Bantuan Makanan Bencana Untuk Pantai Timur dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau juga telah mengarahkan kementerian dan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di peringkat negeri dan daerah untuk menubuhkan Bilik Gerakan Banjir.

“(Ini) bagi memantau dan membantu golongan sasar KPKM yang terkesan dengan musibah banjir ini.

“Saya juga telah mengarahkan kesemua aset yang dimiliki oleh jabatan dan agensi berhampiran kawasan banjir seperti bot, lori, dan jentera dapat digunakan untuk kerja-kerja bantuan awal seperti mengalihkan haiwan ternakan dan mangsa banjir,” katanya.

Setakat pukul 6.30 petang ini, lebih 50,000 mangsa banjir telah direkodkan di Kelantan dan Terengganu. Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 48,246 mangsa daripada 14,709 keluarga dan 204 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Di Terengganu, 9,375 mangsa daripada 2,857 keluarga telah dipindahkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat