Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Malaysia terus meneguhkan peranannya sebagai negara dagang dan ekonomi yang pesat berkembang walaupun menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Perkara ini disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pertemuan dengan Pengerusi HSBC Asia Pasifik, Peter Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Omar Siddiq, bersama delegasi di pejabatnya.
“Menerusi perbincangan petang ini, Malaysia diyakini berada di landasan yang tepat untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap ekonomi global,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menyatakan bahawa peranan Malaysia sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025 bakal membuka peluang besar dalam memperkukuhkan keyakinan pelabur untuk terus memilih ASEAN sebagai destinasi pelaburan utama.
“Insya-Allah, melalui dasar dan hala tuju Kerajaan MADANI, usaha ini dapat diintegrasikan ke peringkat ASEAN demi kemajuan dan kemakmuran rantau ini,” tambahnya.
Kerjasama strategik ini mencerminkan keyakinan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap potensi ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi pemimpin ekonomi serantau.