PETALING JAYA: Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) berjaya meraih sumbangan sebanyak RM1.635 juta pada Majlis Makan Malam Amal ‘A Night for Fighters’ yang diadakan, malam tadi.
Majlis itu dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bersama YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan YAM Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Ahli Lembaga Pengarah TLJCF, Datuk Ismail Karim dalam ucapannya berkata, sejak tahun 2016 hingga Oktober 2024, sebanyak RM15.6 juta sumbangan awam telah disalurkan untuk meningkatkan kemudahan pesakit kanser di hospital kerajaan.
“Ia merangkumi sokongan untuk pesakit serta menaik taraf kemudahan pesakit kanser di hospital kerajaan.
“Jumlah ini hanya boleh dicapai dengan adanya sokongan daripada penaja-penaja yang sentiasa menyokong usaha TLJCF dalam memastikan pejuang kanser mendapat bantuan bagi membiayai kos rawatan dan keperluan mereka,” katanya.
Pada majlis itu penaja sumbangan terdiri daripada 50 agensi kerajaan, syarikat korporat dan individu membantu TLJCF dalam usaha memberikan sokongan kepada lebih 80,000 pejuang kanser di Johor.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Datuk Dr Mohd Khairi Yakub, Kol (B) Datuk Mohamed Perang Musa, Pengarah Eksekutif TLJCF dan Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Mohd Ikmal Izam Zaini.
Tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan khas daripada Dayang Nurfaizah dan Gie Hamid, Juara Kilauan Emas 2024 yang juga merupakan seorang pejuang kanser.