Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyediakan 5,000 set makanan dan 1,000 kit kebersihan untuk membantu mangsa banjir yang terjejas teruk.
Bantuan itu disokong oleh Kebangsaan Bulan Sabit Merah (KBSM) dan kerjasama Nestle Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana, Hussain Moh berkata, matlamat utama program itu adalah menyediakan set bantuan makanan dan kit kebersihan untuk memenuhi keperluan mendesak akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
“Bantuan ini dirancang untuk meringankan beban mangsa yang terjejas serta memastikan keperluan asas mereka seperti makanan dan kebersihan diri dapat dipenuhi semasa bencana,” kata NADMA.
Dilaporkan, seramai 160 sukarelawan daripada NADMA, Nestle dan BSMM telah menyumbangkan tenaga dalam aktiviti pembungkusan, memastikan kelancaran proses serta kejayaan program ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kepada mangsa banjir tetapi juga memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta.
“Kini, bot-bot yang disumbangkan CSR UNIKL-NADMA kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah mula digunakan sewaktu operasi MTL kali ini,” jelas NADMA.
Sebagai info, mangsa banjir terkini sudah mencecah 73,390 orang daripada 22,699 keluarga di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.
Sebanyak 493 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menampung mereka yang terjejas.
Baca lagi.