Oleh: Kamilia Ali
PASIR MAS: Pempengaruh terkenal, Khairul Aming, hari ini secara sukarela memberikan bantuan makanan yang dimasak sendiri kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menerusi satu ciapan di laman X miliknya, dia memaklumkan baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur menaiki pesawat dan akan segera memberikan bantuan bermula hari ini.
“Baru ‘landed’ (mendarat) Kelantan. Hari ni kita mulakan bantuan banjir ke pusat pemindahan.
“Petang ini kita selesaikan penghantaran makanan di Pasir Mas dahulu.
“Staf saya akan beli dan sediakan barang-barang keperluan asas dan esok kita akan hantar dengan lori ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.
Pada masa sama, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman turut meminta sesiapa di kawasan sekitar Kota Bharu yang mempunyai makanan seperti roti, air mineral, tuala wanita (pad), makanan dalam pek, selimut dan sebagainya untuk disedekahkan.
“Kalau sesiapa di sekitar kawasan Kota Bharu yang ada roti, air mineral, pad, makanan dalam pek, selimut atau sebarang keperluan asas yang boleh sedekah, mohon datang di kedai Nasi Berlauk Sudin di Sri Cemerlang,” katanya lagi.
Khairul Aming turut memuat naik satu video mengenai banjir yang semakin teruk di Pantai Timur dan berharap agar semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat, memandangkan banjir kali ini dikatakan lebih buruk berbanding 2014.
Baca juga: