KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lepas, akan dibentangkan di Parlimen Isnin ini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, cadangan pindaan ini akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233 yang berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian bagi mengelakkannya disalah guna.
“Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian juga akan dibawa, malah sudah pinda takrif ‘Mule Account’ (Keldai Akaun).
“Disusuli pindaan Kanun Keseksaan serta beri takrifan kepada buli siber termasuk jenayah seperti ‘doxing’ dan satu lagi kod tatalaku yang dalam draf akhir,” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu turut akan menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.
Fahmi turut menekankan pentingnya mengawal penyebaran maklumat palsu dan aktiviti jenayah dalam media sosial untuk melindungi pengguna dan memastikan keselamatan rangkaian tetap terjamin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Komunikasi di Pantai Dalam, di sini hari ini.