Fitnah terhadap PM tunjukkan pembangkang tidak tabayyun

PETALING JAYA: Politik matang dan beretika amat penting bagi memastikan kestabilan negara terpelihara, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Beliau berkata fitnah yang menyebut Anwar sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sangat berbahaya biarpun Yusni telah menarik balik kenyataannya.

“Dakwaan fitnah sebegini hanya akan merosakkan perpaduan dan kepercayaan antara kerajaan pusat dan negeri, yang amat penting untuk membangunkan negara.

“Pemimpin politik, khususnya yang mendukung nilai-nilai Islam, harus menjadi teladan dengan mengamalkan prinsip tabayyun – iaitu memeriksa kebenaran sebelum menyebarkan sesuatu perkara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Tegas Farhan, serangan peribadi dan fitnah tidak sepatutnya digunakan sebagai senjata dalam politik, terutama di kalangan parti-parti Islam yang diharapkan menunjukkan sikap lebih matang berbanding parti lain.

Farhan berkata Anwar telah menghantar perisytiharan harta bernilai RM10.7 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Mac 2019. Ia sebahagian inisiatif Kerajaan untuk memastikan ketelusan dalam kalangan anggota Kabinet dan Ahli Parlimen.

“Perisytiharan ini tidak mendatangkan sebarang isu pada waktu itu kerana ia disertai dengan penjelasan terperinci mengenai bagaimana aset tersebut diperoleh. Sebahagian besar nilai asetnya adalah berdasarkan anggaran semasa hartanah miliknya, iaitu rumah di Bukit Segambut bernilai RM9.5 juta yang pada asalnya dibeli pada harga RM4.5 juta hasil daripada penjualan rumah di Bukit Damansara pada tahun 2005.

“Tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang, yang dibeli pada tahun 1974 dengan harga RM7,000 dan kini dianggarkan bernilai RM420,000.

“Aset-aset ini diperoleh secara sah dan boleh dibuktikan melalui dokumen jual beli dan rekod kewangan yang sah,” katanya lagi.

Ahmad Farhan juga menekankan bahawa meskipun berbeza ideologi politik, semua pihak perlu mengelakkan serangan peribadi dan fokus kepada perbincangan yang lebih konstruktif demi kemajuan negara.

Beliau menyeru agar ahli politik, serta rakyat umum, memainkan peranan dalam menegakkan kebenaran dan menghindari politik kebencian.

Dengan mengutamakan prinsip tabayyun, masyarakat dapat mengelakkan diri daripada menjadi penyebar fitnah dan memastikan politik negara kekal berlandaskan kebenaran dan keadilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat