Paip Culvert Usia 35 Tahun Pecah Punca Tanah Mendap
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera membaik pulih mendapan sekitar kedalaman dua kaki akibat paip culvert yang pecah hari ini.
Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan kejadian tanah mendap di Jalan Menara 1 berpunca daripada paip culvert yang berusia 35 tahun pecah.
“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada usia culvert yang melebihi 35 tahun, ditambah dengan tekanan tanah akibat hujan berterusan.
“Kerja-kerja baik pulih telah dilaksanakan serta-merta, termasuk penggalian dan penggantian culvert baharu yang lebih tahan lama.
“Kerja-kerja ini dijangka siap sepenuhnya pada 2 Disember 2024, tertakluk kepada keadaan cuaca,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, kawasan terlibat juga telah ditutup sementara dan ditanda bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.
Semalam, tular di media sosial mengenai kesan mendapan tanah di sekitar jalan Menara 1 DBKL.
DBKL juga turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan serta maklumat yang disalurkan.
Baca juga: