PASIR MAS: Kerugian sektor pertanian negeri Kelantan akibat banjir kali ini dianggar melebihi RM16 juta dan ia dijangka akan meningkat selepas bancian lengkap diperolehi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata 4,872 hektar kawasan pertanian dilaporkan terjejas yang melibatkan 2,156 orang pesawah, petani dan pengusaha makanan.
“Kerajaan komited untuk mengkaji jenis bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban petani yang terkesan, termasuk pemberian bantuan kewangan dan sokongan pemulihan pasca-banjir.
“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau keadaan banjir dengan rapi dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada golongan sasar KPKM yang memerlukan,” kongsinya selepas meninjau situasi semasa banjir dan menilai kesan banjir terhadap sektor pertanian yang terjejas pada Ahad.
Mohamad juga turun meninjau kawasan sawah di Jajahan Pasir Mas yang telah ditenggelami banjir, di mana sejumlah 211 hektar kawasan sawah di sini yang beberapa hari lagi akan dituai telah tenggelam sepenuhnya.
Beliau juga menyampaikan bantuan makanan ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala.
Baca juga: