PETALING JAYA: Seramai 19 kru berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia terbakar pada kedudukan 9.1 batu nautika dari Tanjung Laboh, dekat Batu Pahat, Johor pada Isnin.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Mohammad Zaini Zainal Abidin, pihaknya menerima aduan berhubung kebakaran kapal Malaysia STAR itu daripada Malaysia Rescue Sub Centre pada pukul 8.40 pagi.
Susulan itu, katanya, dua bot peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan sebuah bot pasukan Polis Marin digerakkan ke lokasi sebaik mendapat laporan tersebut.
“Kapal terbabit dilaporkan sedang menuju ke Kota Kinabalu dengan membawa 19 kru iaitu seorang warga tempatan dan 18 warga Filipina.
“Semua mangsa dilaporkan selamat dan dipindahkan ke bot peronda Maritim Malaysia sebelum dibawa ke jeti untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman api masih dijalankan, memandangkan tangka minyak berada di bawah tempat kebakaran.
Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang tumpahan minyak dilaporkan, namun pemantauan masih dilakukan secara berterusan.