Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Eksport Malaysia sehingga Oktober 2024 mencecah RM40 bilion, jauh melebihi sasaran awal RM18 bilion.
Pencapaian memberangsangkan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Syabas diucapkan kepada semua kementerian dan agensi yang berjaya membawa produk dan perkhidmatan Malaysia ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) yang dipengerusikannya di Menara MATRADE pada Selasa.
“Ia menjadi platform penting bagi memastikan pelaburan kerajaan dalam promosi luar negara lebih terselaras dan memberi pulangan optimum kepada negara.
“Kerjasama strategik antara agensi, terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), turut menjadi kunci kejayaan ini,” katanya.
Shamsul Azri juga menekankan kepentingan analisis data prestasi bagi merangka strategi lebih tersusun.
“Kita perlu memberi fokus kepada kesediaan syarikat tempatan untuk eksport dan memahami arah aliran pasaran global demi pulangan pelaburan yang lebih baik,” tambahnya.
Kejayaan itu membuktikan komitmen kerajaan Malaysia MADANI dalam memastikan produk tempatan terus bersaing di peringkat antarabangsa, selaras dengan matlamat untuk menjana ekonomi yang lebih dinamik dan mampan.
Baca juga: