Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dilabel tidak lagi relevan, dakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai dakwaan Shahril bahawa beliau hanya mahu menjadi hero dengan membawa naratif mengenai usaha memujuk Barisan Nasional (BN) meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
“Dia (Shahril Hamdan) tidak lagi relevan,” kata Ahmad Zahid ringkas selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada Rabu.
Dalam satu episod podcast Keluar Sekejap (KS), Shahril mendakwa naratif itu adalah ‘kemahiran’ Zahid bertujuan untuk menjadikannya kelihatan seperti seorang wira.
“Beliau tampil sebagai penyelamat (Kerajaan Perpaduan) dengan menolak jawatan Perdana Menteri demi kebaikan yang lebih besar,” kata Shahril.
Shahril telah digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari tahun lalu bersama bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO belum menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpinnya yang pernah dipecat untuk kembali ke pangkuan parti itu.
“Setakat ini tiada permohonan. Jika ada, kita akan bawa permohonan itu kepada jawatankuasa pengurusan dan seterusnya membentangkannya kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi).
“Mesyuarat itu mungkin diadakan pada Januari atau bulan-bulan berikutnya,” katanya ketika mengulas sama ada UMNO sedia mempertimbangkan kemasukan semula pemimpin parti yang pernah dipecat dan digantung keahlian sebelum ini.
Antaranya adalah bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin (dipecat) serta bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan (digantung keahlian).
Pada 25 November lalu, MKT UMNO menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkuat kuasa serta-merta selepas beliau digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober 2022 kerana kesalahan mengkritik parti itu.