Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Isu pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) terus menjadi perbincangan hangat apabila kedua-dua peperiksaan besar itu diputuskan untuk tidak dikembalikan.
Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan bahawa UPSR dan PT3 yang masing-masing dimansuhkan mulai 2021 dan 2022 tidak lagi relevan untuk dilaksanakan dalam pentaksiran pendidikan murid sekolah.
Sebaliknya, beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada memperkasakan Pentaksiran Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).
Situasi semakin panas apabila Fadhlina ketika Sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 bukanlah keputusan beliau, sebaliknya ia terletak di tangan Datuk Dr Radzi Jidin ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan.
Susulan jawapan tersebut, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya bingkas bangun dan mencelah dengan menyatakan bahawa pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut adalah keputusan KPM.
Tampil mengulas mengenai situasi itu, Pakar Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Anuar Ahmad mengulas bahawa rakyat menganggap kedua-dua pemimpin itu sebagai tidak pasti sama ada keputusan memansuhkan dan mengekalkan pemansuhan UPSR serta PT3 adalah tepat.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut tidak akan menuding jari pada pihak lain jika masing-masing yakin dengan keputusan yang dibuat.
“Jika YB Menteri yakin dengan keputusan beliau mengekalkan pemansuhan UPSR dan PT3, maksudnya beliau bersetuju dengan keputusan YB Putrajaya, tentu beliau tidak akan ungkit keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 oleh mantan menteri.
“Mantan menteri pula, kalau beliau yakin dengan keputusan beliau memansuhkan UPSR dan PT3, tentu beliau tidak akan tuding jari pada KPM, atas alasan ‘collective responsibility’,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Kembalikan UPSR
Dalam pada itu, Anuar menyarankan supaya UPSR dikembalikan semula demi pendidikan anak-anak pada masa akan datang.
Beliau menganggap peperiksaan tersebut sebagai penting untuk mengukur tahap pencapaian asas murid-murid di peringkat sekolah rendah.
“Mahu teruskan juga Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)? Silakan, asalkan kita sudah pasti benar-benar bersedia,” ujarnya.
Oktober lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, seramai 122,000 murid Tahun Satu bagi sesi akademik tahun ini di seluruh negara dikesan masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Beliau berkata, antara punca yang menyumbang kepada perkara itu adalah keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, kemiskinan, dan anak-anak keperluan khas.
Terdahulu, Anuar dilaporkan berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tindakan mengembalikan UPSR sebagai satu beban serta sudah tidak sesuai dengan zaman adalah satu ‘fitnah’ yang besar.
Hal ini kerana, katanya, UPSR yang mula diperkenalkan pada tahun 1988 adalah bagi memenuhi matlamat Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah dimulakan pada tahun 1983.
Malah katanya, kewujudan UPSR juga telah diselarikan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang dirumuskan pada tahun 1987.
Beliau menegaskan bahawa UPSR 1988 boleh mengukuhkan kembali penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) murid-murid di sekolah rendah.