AMK, Khidmat Malaysia hulur bantuan mangsa banjir di Kelantan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia membantu mangsa banjir di Kelantan yang kini menghadapi kesan bencana buruk itu.

Inisiatif tersebut mendapat kerjasama pasukan Khidmat Malaysia (KHIDMAT), yang bertindak sebagai perantara dalam menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas.

Timbalan Ketua AMK, Kamil Munim, berkata bantuan yang disalurkan melibatkan pelbagai keperluan asas termasuk empat bot ‘Rapid Water Rescue’, bekalan makanan, barangan perubatan serta kelengkapan harian.

“Konvoi AMK dan KHIDMAT akan bergerak ke Kelantan mulai malam ini bagi memastikan bantuan dapat sampai tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Langkah tersebut diambil meskipun terdapat cabaran seperti kekangan logistik dan kesediaan stok.

Namun, AMK berjaya mengambil tindakan pantas dengan melengkapkan pasukan penyelamat dan memastikan kampung-kampung yang terputus hubungan menerima bantuan secepat mungkin.

Kamil juga menekankan bahawa misi AMK bukan hanya tertumpu kepada bantuan semasa bencana, tetapi juga persiapan pasca banjir untuk memulihkan kehidupan mangsa yang terjejas.

“Insya-Allah, AMK komited untuk terus mempertingkatkan usaha membantu mangsa banjir,” tambahnya.

Usaha AMK dan KHIDMAT ini diharap dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat banjir serta memberi sinar harapan dalam menghadapi cabaran mendatang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat