Steven ibarat ‘ayahanda’ – Kesatuan Pos Malaysia


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kesatuan-kesatuan Pos Malaysia menyambut baik lawatan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, ke pejabat kesatuan hari ini.

Ia disifatkan sebagai simbol solidariti dalam memperjuangkan kebajikan pekerja Pos Malaysia.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Malaysia (UPCW), Mohd Effendy Abdul Ghani, lawatan ini membawa makna besar, lebih-lebih lagi dalam konteks reformasi yang dilaksanakan oleh Steven Sim sejak pelantikannya pada Disember 2023.

“Peranan beliau sebagai ‘Ayahanda’ kepada pekerja di Malaysia sangat dihargai,” katanya dalam kenyataan bersama Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysia (PMJEU) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS).

Reformasi melalui agenda Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan (3K) yang terus mendapat sokongan penuh kesatuan-kesatuan Pos Malaysia.

“Selagi KESUMA terus ‘Berdiri Bersama Pekerja’, kami akan teguh menyokong hala tuju ini,” tegas Mohd Effendy.

Pendekatan “Pekerja Majikan Sepakat” yang diterapkan di Pos Malaysia turut diapresiasi kerana sejajar dengan prinsip Steven Sim.

Hubungan harmoni ini diakui penting untuk mengimbangi kebajikan pekerja dengan keperluan perniagaan, sekali gus menghadapi cabaran masa kini.

Mohd Effendy berharap lawatan ini menjadi titik tolak kepada hubungan kerja yang lebih produktif.

“Semangat ‘Pekerja Majikan Sepakat’ ini diharap terus memacu kejayaan Pos Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.

Kesatuan-kesatuan Pos Malaysia kekal optimis bahawa kerjasama erat antara KESUMA, majikan, dan pekerja akan terus membawa manfaat kepada semua pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat