Pindaan RUU Mahkamah Syariah Tingkat Penggunaan Teknologi Dalam Proses Perundangan

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998.

Pindaan ini bertujuan memperkukuh proses perundangan melalui penerapan teknologi komunikasi jarak jauh.

“RUU ini dicadangkan bagi meminda Akta 585 untuk memasukkan tatacara yang jelas berkaitan pengendalian kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh,” katanya dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Pindaan ini merangkumi lapan fasal yang bertujuan memodenkan prosedur mahkamah syariah.

Antaranya ialah Fasal 2, yang memperkenalkan takrifan baharu teknologi komunikasi jarak jauh dan Fasal 3, yang mempermudah proses pelantikan peguam syarie tanpa keperluan melafazkan wakalah di hadapan mahkamah atau pendaftar.

“Dengan pindaan ini, pihak-pihak dan peguam syarie tidak lagi dikehendaki hadir secara fizikal untuk melafazkan wakalah.

“Proses pelantikan kini boleh difailkan di mahkamah, sekali gus memudahkan urusan semua pihak,” tambahnya.

Selain itu, Fasal 4 memberi fokus kepada penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perbicaraan mahkamah syariah.

Langkah ini sejajar dengan perkembangan era digital dan keperluan semasa, terutama selepas pengalaman pandemik yang memaksa banyak urusan dilakukan secara dalam talian.

“Pindaan ini bukan sahaja mempermudah urusan, tetapi juga memastikan keadilan dapat dicapai dengan lebih efisien melalui penggunaan teknologi,” ujarnya.

RUU ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan sistem perundangan syariah dengan menerapkan elemen kemodenan, memastikan ia relevan dan responsif terhadap cabaran semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat