KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka akan dibubarkan pada Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Ruddy Awah berkata, jangkaan itu selaras tempoh DUN Sabah Ke-16 sekarang yang akan tamat pada Oktober tahun depan.
Beliau juga menolak kemungkinan DUN Sabah akan dibubarkan sebelum 31 Disember ini atau awal tahun depan walaupun ada tekanan terhadap kerajaan negeri untuk mengawalkan PRN17.
“DUN tidak akan dibubarkan pada tahun ini kerana tempoh DUN sekarang adalah sehingga Oktober tahun depan.
“Jadi, jangkaan untuk DUN dibubarkan pada Ogos tahun depan adalah masuk akal dan sesuai,” katanya memetik laporan media tempatan.
Ruddy berkata GRS sudah mula membincangkan persiapan menghadapi PRN17 dan dijangka menggandakan persediaan ke arah itu bermula Januari ini.
Mengenai kerusi bakal ditandinginya, beliau berkata akan mempertahankan DUN Pitas yang dimenanginya ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.
Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bebas dengan majoriti 559 selepas mendapat 2,918 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan tiga calon parti lain.
Baca juga: