‘Tiara’ masih unggul di MACP setelah 33 tahun

PETALING JAYA: Lagu Tiara yang dilantunkan oleh kumpulan Kris pada 1991, terus meraih penghargaan dalam industri muzik tanah air setelah 33 tahun.

Pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) Jumaat lalu, pencipta lagu tersebut, Datuk M Nasir, merangkul trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi buat kali kedua.

Lagu ini juga memenangi trofi Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi, manakala Taja Archive Sdn Bhd menggantikan Luncai Emas sebagai Penerbit Tempatan Pendapatan Tertinggi.

Datuk M Nasir, merangkul trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi single Tiara pada MACP yang berlangsung pada Jumaat – IG mnasirmohamed

M Nasir menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mengekalkan kedudukan lagu ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa MACP mengiktiraf penjualan lagu, bukan sekadar popularitinya.

“Ada lagu popular, macam dulu-dulu lagu popular tapi penjualan tak dapat diketahui sepenuhnya. MACP memang satu badan yang patut ada dalam industri kita.

“Sekian lama pun ia berkhidmat untuk komposer dan publisher dengan cemerlang,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, Universal Music Publishing Sdn Bhd mengekalkan kemenangan dalam kategori Penerbit Pendapatan Tertinggi.

Penyanyi dan komposer, Bunga Isme, meraih trofi Komposer Muda Berpotensi dengan lagu Bunga, sementara allahyarham Rosli Khamis atau Loloq menerima Anugerah Nadi Cipta bagi sumbangannya kepada industri muzik tanah air.

Kategori Persembahan Lagu Inggeris Tertinggi dimenangi oleh lagu Que Chill nyanyian Malique.

Cinta Sampai Mati terbitan Luncai Emas Sdn Bhd memenangi Persembahan Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi buat kali kedua, sementara Gatal nyanyian Janna Nick ciptaan Aepul Roza memenangi Lagu Melayu Persembahan Tertinggi.

Harry Khalifah diumumkan sebagai Pencipta Terbaik TikTok dengan lagu Sayunk I Love You.

Anda Mungkin Berminat