Oleh: Shafira Aziz
TULAR kembali potongan video ucapan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang menyentuh isu serius berkaitan penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Dalam ucapan berani tersebut, beliau mendedahkan statistik mengejutkan dengan 130,000 penagih dadah di Malaysia dan 86 peratus daripadanya adalah Melayu Islam.
Beliau turut berkongsi tentang usaha membanteras gejala ini, termasuk operasi yang berjaya menangkap beberapa pegawai polis yang terlibat dalam sindiket dadah.
“Takkan kita nak biarkan? Bila tangkap, banyaklah nama yang keluar,” tegasnya dalam ucapan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan kes seorang ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berpangkat Superintenden yang didapati mengutip RM400,000 sebulan dari satu sindiket di sebuah negeri di pantai timur.
Beliau turut menekankan tindakan tegas yang diambil terhadap pegawai terlibat, termasuk pembuangan kerja dan penurunan pangkat.
“Kita buat begitu, baru ada impak,” tegasnya.
Ucapan tersebut disampaikan semasa Majlis Simposium Tadbir Urus Korporat Kumpulan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) 2024 pada minggu lalu.
Baca juga: