SYRIA mencipta sejarah apabila rejim Bashar al-Assad tumbang setelah lebih 53 tahun keluarga al-Assad memerintah negara itu.
Pengumuman itu dibuat oleh pasukan pembangkang selepas mereka menguasai Damsyik pada Ahad.
Kejatuhan ini berlaku hanya seminggu selepas pembangkang melancarkan Operasi ‘Deterrence of Aggression’, sebuah serangan besar-besaran yang menyatukan pelbagai kumpulan pembangkang Syria, termasuk Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan kumpulan disokong Turki.
Dalam masa beberapa hari, mereka berjaya menguasai bandar-bandar utama seperti Aleppo, Hom dan Deraa, tempat kelahiran kebangkitan rakyat pada 2011.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/12/WhatsApp-Image-2024-12-08-at-6.16.08-PM.jpeg)
“Ini menandakan berakhirnya era kezaliman,” kata jurucakap HTS, lapor Al-Jazeera hari ini.
Ribuan tahanan politik dilaporkan dibebaskan sepanjang kemaraan pasukan pembangkang.
Kejatuhan rejim ini didorong oleh kelemahan ekonomi Syria yang semakin merosot, ditambah dengan kemerosotan sokongan tentera al-Assad.
Ramai anggota tentera dan polis dilaporkan menyerah diri, meninggalkan pos mereka, atau lari sebelum pasukan pembangkang tiba.
Selain itu, sekutu utama rejim seperti Rusia dan Iran tidak dapat membantu disebabkan komitmen mereka di tempat lain.
Suasana di Syria dipenuhi dengan kegembiraan, dimana rakyat di Damsyik dan bandar lain turun ke jalanan, meraikan kebebasan dengan tembakan ke udara, melaungkan slogan anti-Assad dan menghancurkan patung-patung Hafez al-Assad, ayah kepada Bashar.
Namun, masa depan Syria masih tidak menentu. Perdana Menteri sementara, Mohammad Ghazi al-Jalali, menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan peralihan.
“Negara ini berpotensi menjadi negara normal yang menjalin hubungan baik dengan jiran dan dunia,” katanya menerusi ucapan video.
Kini, harapan tertumpu kepada kestabilan dan perpaduan antara pihak pembangkang untuk membina semula Syria selepas kejatuhan al-Assad.
Baca juga: