PUTRAJAYA: Syarikat milik kerajaan China, ZTE Global menyatakan hasrat untuk mewarnai landskap digital di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia bagi meningkatkan infrastruktur kesalinghubungan luar bandar sekali gus merapatkan jurang digital miskin bandar dalam memacu pembangunan inklusif ketersediaan rangkaian di Malaysia dan menjadikan Malaysia hub digital kecerdasan buatan (AI).
“Petang tadi saya telah menerima kunjungan hormat delegasi ZTE Global yang diketuai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Xu Ziyang.
“Perbincangan menyentuh beberapa perkara terkait kepentingan 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang berupaya memangkin negara sebagai hab inovasi, bandar pintar dan teknologi generasi akan datang,” tulisnya di Facebook pada Isnin.
Perdana Menteri turut menambah gabungan keupayaan infrastruktur rangkaian dan kepakaran digital tempatan bersama teknologi daripada ZTE telah dibuktikan melalui ujian kepantasan 5G di dunia yang mencatat kelajuan luar biasa sebanyak 28Gbps.
“Lebih menarik, ZTE Global telah beroperasi di lebih daripada 160 negara sebagai peneraju global dalam bidang telekomunikasi dan penyelesaian teknologi,” katanya.
Untuk rekod, ZTE bertapak di Malaysia sejak tahun 2004 dengan kepakaran dalam memacu inovasi 5G dengan AI bagi menyokong pembangunan ekonomi di negara ini.
Baca juga: